Rabu, 22 Oktober 2008

Jangan berani menghalalkan dosa


Kisah Iblis dan Adam diulang berkali-kali dalam al-Quran agar kita mengambil pengajaran dalam kehidupan. Setiap ulangan ada isu dan pengajarannya yang tersendiri. Kita seperti bapa kita Adam, terdedah kepada salah dan silap, cuai dan alpa yang akhirnya menjerumuskan kita ke dalam dosa.

Namun, seperti mana bapa kita Adam, kita tidak akan mempertikaikan hukum atau peraturan yang Allah tetapkan. Kita akui kelemahan diri, tanpa kita menghalalkan kesalahan dan dosa dengan alasan yang menunjukkan kita meremehkan hukum Tuhan.

Kita bukan Iblis yang apabila berdosa bersikap takabur dan enggan akur atas kelemahan diri, sebaliknya menuding kesalahan kepada peraturan yang Allah tetapkan. Sesiapa yang bertindak seperti Iblis, maka dia menjadi kafir. Sementara sesiapa yang bersikap seperti Adam, maka dia mendapat keampunan tuhannya.

Allah menceritakan kisah bapa kita Adam, agar kita mencontohinya apabila melakukan kesalahan. Melakukan kesalahan bukan perkara yang paling menimbulkan kemurkaan Allah, tetapi enggan akur dan bertaubat itulah membawa kemurkaan besar di sisiNya.
Kita anak Adam, teladani sikap bapa kita. Sabda Nabi s.a.w.

“Semua anak Adam melakukan kesalahan. Sebaik-baik yang melakukan kesalahan itu ialah mereka yang bertaubat” (Riwayat al-Tirmizi, Ibn Majah, dinilai hasan oleh al-Albani).


Kisah Adam dan Iblis menjadi paksi dalam banyak episod kehidupan insan. Sebab itu dalam Islam sesiapa yang membuat dosa dan menghalalkan tindakannya maka dia menjadi kafir. Sementara sesiapa yang membuat dosa namun tidak menghalalkannya maka dia dianggap sebagai seorang fasiq (ahli dosa), namun tidak membawa kepada kufur. Melainkan jika dia bertaubat.


Ini seperti sesiapa yang tidak berpuasa Ramadan tanpa sebab yang diizinkan oleh syarak, maka dia berdosa dan menjadi fasik. Namun jika dia menghalalkan perbuatannya itu seperti menyatakan ‘bagi aku tidak salah jika aku tidak berpuasa pun’, atau dia mempertikaikan hukum seperti dia menyatakan ‘syariat puasa itu tidak sesuai atau tidak ada sebarang faedah untuk kita ikut’ maka dia menjadi kafir, terkeluar dari Islam. Ini kerana dia mempertikaikan atau mencabar Allah Yang Maha Agung.

Perbuatan yang seperti itulah yang dilakukan oleh Iblis lalu dihukum kufur oleh Allah. Sama juga dengan pelaku dosa. Jika seseorang berzina maka dia berdosa dan fasiq (fasik). Namun, jika menghalalkan perbuatan zina seperti menyatakan ‘apa salahnya jika suka sama suka’, atau dia menyatakan ‘jika pasangan dah rela, mana boleh berdosa’, atau menyebut ‘zina macam sedekah, jika orang bagi tidak salah kita mengambilnya’ maka pengucap ungkapan-ungkapan yang seperti ini terkeluar dari Islam. Ini kerana dia telah mempertikaikan hukum Allah dan mencabar apa yang telah ditetapkanNya.

Berbalik kepada kisah Adam dan Iblis. Kisah ini menjadi teras dalam akidah Islam. Islam agama yang akur bahawa insan sentiasa terdedah kepada dosa dan kesalahan. Selagi mana insan insaf bahawa kesalahan itu berpunca daripada kelemahan dirinya sendiri, dia mempunyai ruang untuk kembali dan bertaubat kepada Allah.

Namun apabila insan yang melakukan dosa itu sombong dan bongkak dengan merasakan dia tidak bersalah atas perbuatannya, maka tempatnya bersama dengan Iblis yang menghuni tetap neraka yang amat dahsyat.

Selasa, 21 Oktober 2008

Taati agama ketika menyambut raya

Menyambut hari raya dalam erti kata bergembira dan bersukacita setelah sempurna berpuasa pada bulan Ramadhan adalah dituntut oleh syarak. Adapun berlebih-lebihan dalam sambutan atau menunjuk-nunjuk seperti mengada-adakan keraian sehingga menjadi beban kepada diri sendiri dan keluarga adalah dilarang. Berbangga dan bermewah-mewah hingga melampau adalah juga dilarang, apatah lagi jika berlaku pembaziran.

Firman Allah yang bermaksud:
(Surah al-Isra', ayat 26-27)

Perihal hiburan memang menjadi kebiasaan apabila tiba hari raya, itulah hari kita hendak berhibur. Dalam acara sambutan raya seperti menjamu selera juga adalah suatu bentuk hiburan. Sambutan raya di Negara kita ditambah dengan bunyi-bunyian, nyanyian, muzik dan berbagai-bagai lagi. Televisyen pula menyiarkan rancangan hiburan sepanjang hari meskipun diselang-selikan dengan sedikit berita dan rencana, pada hakikatnya hiburan itulah yang mendominasi sambutan hari raya selama beberapa hari.

Hiburan sempena hari raya mementingkan nilai estetika yang melampau. Mereka memaparkan kecantikan wanita lebih dari sepatutnya, berpakaian, menari dengan lagu-lagu yang hit sahaja. Apa yang jelas, hiburan-hiburan ini melalaikan. Inilah yang akan membawa kepada perlanggaran hukum syarak.

Seandainya hiburan hari ini khususnya pada hari raya dijuruskan kepada pemujian Allah SWT, menghayati tuntutan Islam berhari raya, mengingatkan kepada nikmat Allah wajib disyukuri dengan memperbanyakkan kerja-kerja taat, maka jadilah hiburan itu sesuatu yang bermanfaat. Oleh itu perlu diperbetulkan semua amalan ini demi mendapat redha Allah.

Wanita perlu masak untuk suami

Bertuahlah bagi seorang wanita apabila memiliki seorang suami yang memahami keadaan dan kesibukan para isteri. Mereka tidak cerewet memakan masakan yang disediakan oleh pembantu atau membeli makanan daripada restoran. Tapi bagaimana dengan suami yang tetap menginginkan pasangan memasak untuk mereka? Apakah yang membuatkan mereka tetap ingin menikmati air tangan isteri dan mengapa isteri perlu memasak untuk suami?

Menyediakan makanan buat suami adalah tanggungjawab seorang isteri. Walaupun ia bukanlah suatu kewajipan yang ditetapkan oleh agama, namun kebiasaan masyarakat mewajibkan seorang isteri memasak untuk suaminya. Malah pandangan masyarakat itu juga menjadikan memasak tugas mutlak seorang isteri.

Memasak untuk suami bukan hanya menunjukkan isteri mengambil berat terhadap dirinya tetapi ia benar-benar menggambarkan isteri mengutamakan segala kebajikan dan keperluan dirinya. Lelaki menunjukkan cinta dan kasih saying mereka dengan melakukan atau menghadiahkan sesuatu kepada pasangan dan mereka juga ingin isteri melakukan perkara yang serupa. Walau hanya sekadar masakan ringkas, tidak mengapa kerana ia tetap membuktikan kasih sayang seorang isteri.

Kata orang-orang tua, tambatlah hati suami menerusi perutnya. Ertinya, jika isteri ingin menawan hati dan membuat suami terus menyayanginya, sediakanlah juadah buatnya. Makanan yang disediakan dikatakan menjadi lambang cinta dan kasih sayang isteri terhadap dirinya yang secara tidak langsung menjadi pengikat kasih sayang antara suami isteri.

Apabila suami memasak untuk isteri, mereka berbuat demikian untuk memastikan isteri terus kekal dalam bentuk tubuh yang mereka ingini. Jadi apabila isteri memasak untuk suami, sediakanlah makanan yang sihat buat dirinya agar kesihatan dirinya terus terbela. Walaupun bukan setiap hari, pastikan seorang isteri memasak buat suami sekurang-kurangnya tiga kali dalam seminggu memandangkan masakan yang dijual di kedai terdedah kepada serbuk perasa dan bahan tidak terjamin kebersihannya.

Memang terdapat lambakan juadah di luar. Namun, biarpun terdapat pelbagai pilihan, semua menu ini tidak dapat menandingi kelazatan makanan yang disediakan oleh isteri. Walaupun ringkas, keenakannya tetap terasa kerana aura kasih sayang yang terkandung di dalamnya.

Sebagai wanita berkerjaya dan berpelajaran tinggi, memasak dilihat sebagai satu cara untuk membuktikan diri isteri benar-benar berkebolehan dan layak digelar superwoman. Malah kebolehan memasak ini juga membuktikan kehebatan isteri kerana di dalam kejayaan membina kerjaya isteri turut berupaya mengendalikan rumahtangga dengan jaya dan sempurna.

Kuasa beli rakyat semakin mengecil

Sejak kerajaan menaikkan harga minyak kepada RM2.70 Jun lalu dan menurunkan 15 sen baru-baru ini kepada RM2.55, trend harga barangan akibat kenaikan atau penurunan kos minyak tidak menampakkan perubahan ke atas harga barangan. Alasan peniaga ialah penurunan harga minyak amat sedikit dan mereka seolah-olah bersikap mengangguk di air keruh. Ketika rakyat terbeban dengan kos sara hidup yang meningkat akibat inflasi, golongan peniaga pula langsung tiada rasa ihsan jauh sekali untuk bersama-sama menanggung keperitan hidup.

Hingga ke hari ini, harga barangan baik di pasar raya besar mahupun di gerai naik melambung-lambung. Harga ikan, sayur dan setiap bahan makanan harian naik sekali ganda sehingga memberi tekanan kepada rakyat berpendapatan rendah. Harga barang sepatutnya menjadi lebih murah sejajar dengan harga minyak yang diturunkan kerajaan. Tapi malangnya sampai ke saat ini para peniaga memberi seribu macam alasan. Sedangkan ketika harga minyak mula dinaikkan, mereka begitu cepat mendesak kerajaan menaikkan harga barang atas alasan rugi.

Sekarang rakyat berpendapatan rendah sudah terasa bagaimana kuasa membeli mereka semakin mengecil. Sebahagian besar wang kini terpaksa dibelanjakan hanya untuk membeli barang makanan seperti beras, ikan, daging dan sebagainya. Apa yang tinggal hanyalah untuk manampung perbelanjaan harian tanpa mempunyai tabungan untuk jangka masa panjang.

Jika ketika harga minyak dinaikkan, kerajaan boleh berbincang bersama industri dan pengusaha mengenai kenaikan harga barang, mengapa sekarang tidak. Pihak keraan sepatutnya mengadakan pertemuan dengan golongan ini bagi menurunkan harga barang selepas harga minyak menurun.

Ilmu pengurusan kewangan bagi anak-anak


Menjadi keluarga yang bijak mengurus wang bagi kanak-kanak adalah permulaan yang membanggakan dan pelaburan yang menguntungkan. Segala perbelanjaan, simpanan dan urusan kewangan yang diuruskan 100 peratus oleh ibu bapa menyebabkan anak-anak tiada pengalaman dan tidak dapat belajar mengurus wang dengan bijaksana. Ini termasuk dalam urusan membeli barang keperluan yang mahal ataupun murah, simpanan ataupun pelaburan.

Tidak mustahil ramai orang dewasa hari ini terperangkap dengan hutang kad kredit dan membelanjakan hampir semua pendapatan yang diperoleh dan mempunyai masalah kewangan yang memeningkan kepala. Ini kerana mereka tidak pernah belajar asas kemahiran mengurus wang semasa kecil.

Pendek kata, tanggungjawab mendidik anak-anak mengurus wang terletak 100 peratus kepada ibu bapa apabila mereka ingin lihat anak mereka berjaya.