Memaparkan catatan dengan label Isu Politik Islam. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Isu Politik Islam. Papar semua catatan

Rabu, 22 Oktober 2008

Rakyat mahukan pemerintah yang adil

Rakyat akan bangga melihat pemimpin mereka adil dan amanah terhadap harta negara. Rakyat tidak bangga untuk mendengar cerita pemimpin mereka mewah dengan penuh tanda tanya tentang hartanya dan berjalan dengan penuh kebongkakan seakan dia ialah maharaja yang tidak boleh dikalahkan atau dipersalahkan. Seseorang pemerintah dibangga dan dikasihi oleh rakyatnya apabila terserlah keadilannya.

Khalifah Umar bin al-Khattab pernah membahagi-bahagikan kepada rakyatnya pakaian lalu beliau naik ke atas mimbar dan berkata: “Wahai manusia dengarlah!” Tiba-tiba bangun Salman al-Farisi berkata: “Kami tidak mahu dengar”.

Lantas Umar bertanya: Kenapa wahai Salman?” Jawabnya: Engkau berikan kami semua seorang sehelai, sedangkan engkau memakai dua helai”. Kata ‘Umar: “Jangan tergesa-gesa wahai Salman”. Lalu Umar memanggil anaknya Abd Allah. Kata Umar: aku menyerumu dengan nama Allah, bukankah pakaian yang aku pakai ini adalah peruntukanmu yang engkau berikan padaku”. Jawabnya: Ya!. Maka kata Salman: “Sekarang kami akan dengar”. (Ibn Qutaibah, ‘Uyun al-Akhbar, 1/55).

Justeru itulah keadilan dan kesaksamaan adalah teras kepada pemerintahan dalam Islam. Disebabkan keadilan yang pernah ditunjukkan oleh para khalifah yang adil dalam sejarah merekalah maka ribuan manusia menganut Islam atau ingin berlindung di bawah pemerintahan Islam.

Namun, apabila umat Islam gagal mempamerkan sistem dan perlaksanaan pemerintahan yang adil lagi saksama, maka non muslim bukan sahaja tidak mahu menerima Islam, bahkan tidak memandang hormat kepada Islam. Lebih memalukan jika mereka pula lebih bermoral daripada kita dalam menguruskan harta rakyat mereka.

Prinsip kesaksamaan ini ditegaskan oleh banyak nas-nas Islam. Firman Allah (maksudnya): Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). (Surah al-Hujurat: 13).

Inilah dasar Islam yang agung. Menghapus kebongkakan atas nama keturunan atau puak, kerana manusia semuanya sama di sisi tuhan. Islam agama yang memusuhi sistem kasta yang membeza-beza manusia disebabkan keturunannya. Islam tidak pernah menyatakan keturunan semata mewarisi kemuliaan, tetapi nilai dan sikap seseorang yang memastikan sama ada dia mulia atau sebaliknya.

Justeru itu, manusia tidak menjadi mulia disebabkan pangkat yang dia ditabalkan. Tetapi ketakwaannya. Maka ketakwaan seorang pemimpin adalah apabila dia amanah dan adil terhadap rakyat bawahan. Tidak menyalahgunakan kuasa dan mengambil harta yang bukan haknya. Jika itu berlaku, maka dia adalah pemimpin yang mulia. Jika tidak, dia seorang yang memecahkan amanah lagi hina. Sekalipun orang memberikan pangkal namanya dengan berbagai gelaran; Yang Berhormat atau Yang Amat Berhormat. Namun tiada kehormatan untuknya di sisi Allah jika dia merompak harta rakyat secara senyap atau terang-terangan. Ramai pemimpin yang dari jenis ini, apabila kekuasaannya hilang orang kelilingnya juga pun ‘terbang’. Hilang tak berbayang.

Terbukti bahawa yang bersorak ketika dia berkuasa hanya mengharapkan habuan istimewa yang sebahagiannya adalah harta rakyat jelata. Namun jika pemimpin adil dan berjasa, sehingga hari dia hilang kuasa, rakyat akan terus mengingati dan mengenangnya. Sekalipun dia tidak lagi dijemput ke majlis-majlis rasmi, namun budinya tetapi tersemat di hati. Lebih penting, pemerintahan yang adil itu adalah ibadah yang agung yang bakal dibawa olehnya bertemu Allah pada hari kiamat kelak.

Ketegasan terhadap keadilan adalah prinsip dan syiar pemerintahan Islam. Jangan sampai seseorang pemerintah atau pemimpin menjadikan kuasa jawatannya untuk kepentingan suku sakat atau anak pinak atau sahabat handainya. Sehingga kaum keluarga atau kroninya mendapat keistimewaan apa yang tidak diperolehi oleh rakyat biasa.

Janganlah pula kebenciannya kepada sesuatu puak atau golongan menyebabkan dia tidak berlaku adil sedangkan Allah berfirman: :(maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”.

Inilah impian setiap rakyat. Sebab itu maka setiap individu yang berada di bawah naungan kerajaan muslim yang sebenar merasa aman, terbela dan tidak dianayai. Memberikan kesaksamaan dan keadilan untuk semua adalah teras pemerintahan Islam.
Aduhai indahnya dunia ini, jika pemerintah jujur lagi takutkan Allah. Maka terpeliharalah kebajikan rakyat dan tersebarlah keadilan untuk semua.Tidaklah lagi kita akan terus mendengar cerita harta negara menjadi warisan keluarga atau sanak-saudara, atau sahabat setia.

Wahai para pemimpin, kami sekelian rakyat merindui keadilan, kejujuran dan kesaksamaan dalam pemerintahan kalian. Kami mempunyai hak di dunia untuk bertanya dan memintanya, juga hak di hari akhirat untuk mendakwa dan menuntutnya.

Sabtu, 6 September 2008

Kesatuan Ummah dan Perpecahan

Apabila disebut tentang mengapa umat Islam senantiasa berpecah dan tidak bersatu, maka tersebarlah dibibir para pengkaji akan jawapannya. Rata-rata mengatakan ia adalah suatu perkara biasa, dimana-mana sahaja berlaku samaada dizaman terkemudian, mahupun kini.

Tidak kurang juga yang bercanggah pendapat dengan kajian tersebut, dan boleh dilihat bahawa dalil bagi kmpulan yang kedua ini lebih hampir kepada realiti.

Dalil bagi Kumpulan yang kedua:

Sekiranya perpecahan ummah adalah suatu perkara biasa, mengapa Allah SWT befirman yang bermaksud: “Dan berpeganglah kamu semuanya dengan tali (agama) Allah SWT, dan janganlah kamu bercerai-berai…”. –Surah Ali Imran :103.

Dan Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah kamu menyerupai orang-orang yang bercerai-berai dan berselisih sesudah datang keterangan yang jelas kepada mereka, mereka itulah orang-orang yang mendapat seksa yang berat”. –Surah Ali Imran :105.

Dan Allah SWT berfirman lagi yang bermaksud: “Sesungguhnya (agama tauhid) ini, adalah agama kamu semua agama yang satu, dan aku adalah Tuhanmu maka bertakwalah kepada-Ku”. –Surah al-Mu’minun :52.

Adapaun dalil-dalil tentang permasalahan kesatuan ini, amat banyak dari sudut kuantitinya. Namun diringkaskan disini, sekadar menjadi dalil kepada kesatuan ummah adalah sentiasa, dan perpecahan adalah jarang-jarang.

Didalam hadith Nabi SAW ada bersabda yang bermaksud: “janganlah kamu semua berselisih (berpecah), adapun umat-umat sebelum kamu dahulunya binasa disebabkan mereka berpecah”. Menjadi satu muhasabah bagi umat islam kini kepada balasan-balasan umat terdahulu yang ditimpa musibah angkara perbuatan mereka yang bercanggahan dengan perintah Allah SWT.

Kisah umat Nabi Nuh yang ditenggelamkan, serta Firaun dengan tenteranya, serta umat-umat yang lain, dengan pelbagai jenis balasan. Semuanya ini menjadi bukti keperluan umat islam bergang teguh dengan Syariat Allah SWT dan rasulNya.

Jika diperhati akan nas-nas al-Quran mahupun al-hadith, tiada satu nas pun yang menggalakkan kepada perpecahan dan perbalahan, bahkan Islam sentiasa menganjurkan kepada kesatuan, kerna disitulah letaknya kekuatan Islam. Didalam hadith ada disebutkan: “Seorang mukmin dengan mukmin yang lain itu, diumpamakan seperti sebuah binaan, mereka saling kuat menguatkan satu sama lain”.

Sekiranya perpecahan ummah itu adalah suatu yang menjadi kebiasaan bagi ummat islam, sudah tentu setiap suruhan dan tegahan dari Allah SWT tersebut yang kesemuanya mengajak kepada kesatuan hanyalah sebuah mainan, dan bermain-main itu adalah mustahil bagi Allah SWT, maka tidak logiklah jika dikatakan bahawa perpecahan itu adalah suatu kebiasaan, bahkan perpecahan yang dimaksudkan dengan “Sunan Kauniah”, adalah yang bersifat jarang-jarang, melihat kepada sesuatu perkara yang menjadi topik perselisihan.

Dinyatakan didalam sebuah kisah ketika mana Nabi SAW pada suatu hari melalui sebuah masjid Bani Muawiyyah dari sebuah kawasan tinggi, lalu Rasulullah SAW bersolat dua rakaat di masjid tersebut, lalu mendirikan solat bersama para sahabat, dan Nabi SAW berdoa kepada Allah SWT didalam doanya yang panjang, kemudian Nabi pergi menemui para sahabat lalu berkata: “Aku telah meminta kepada Tuhanku tiga perkara, maka Dia (Allah SWT) memberiku dua daripadanya, dan menegah satu daripada permintaanku, yang pertama aku telah meminta agar tidak dibinasakan ummatku dengan sunnah lalu dia menqabulkan permintaanku, kedua aku meminta agar tidak dibinasakan ummatku dengan penenggelaman lalu Dia menqabulkan permintaanku, dan ketiga aku meminta agar tidak diselisihkan umatku sesama mereka, lalu Dia menolaknya”.

Jika dikaji secara mendalam, sesungguhnya semua gerakan-gerakan serta institusi-institusi islam diseluruh dunia mempunyai banyak perkara yang mereka saling sepakati, namun perkara-perkara ini mereka jarang hendak ketngahkan. Bahkan yang lebih menjadi topik perbincangan pada kitab-kitab karangan mereka adalah kesalahan-kesalahan gerakan tertentu.

Maka tercetuslah pergaduhan, serta herdik mengherdik sesama kumpulan islam, yang jika mereka sedar akan tujuan daripada perjuangan mereka, sudah tentu kesepakatan adalah jalan penyelesaiannya.