Bertuahlah bagi seorang wanita apabila memiliki seorang suami yang memahami keadaan dan kesibukan para isteri. Mereka tidak cerewet memakan masakan yang disediakan oleh pembantu atau membeli makanan daripada restoran. Tapi bagaimana dengan suami yang tetap menginginkan pasangan memasak untuk mereka? Apakah yang membuatkan mereka tetap ingin menikmati air tangan isteri dan mengapa isteri perlu memasak untuk suami?
Menyediakan makanan buat suami adalah tanggungjawab seorang isteri. Walaupun ia bukanlah suatu kewajipan yang ditetapkan oleh agama, namun kebiasaan masyarakat mewajibkan seorang isteri memasak untuk suaminya. Malah pandangan masyarakat itu juga menjadikan memasak tugas mutlak seorang isteri.
Memasak untuk suami bukan hanya menunjukkan isteri mengambil berat terhadap dirinya tetapi ia benar-benar menggambarkan isteri mengutamakan segala kebajikan dan keperluan dirinya. Lelaki menunjukkan cinta dan kasih saying mereka dengan melakukan atau menghadiahkan sesuatu kepada pasangan dan mereka juga ingin isteri melakukan perkara yang serupa. Walau hanya sekadar masakan ringkas, tidak mengapa kerana ia tetap membuktikan kasih sayang seorang isteri.
Kata orang-orang tua, tambatlah hati suami menerusi perutnya. Ertinya, jika isteri ingin menawan hati dan membuat suami terus menyayanginya, sediakanlah juadah buatnya. Makanan yang disediakan dikatakan menjadi lambang cinta dan kasih sayang isteri terhadap dirinya yang secara tidak langsung menjadi pengikat kasih sayang antara suami isteri.
Apabila suami memasak untuk isteri, mereka berbuat demikian untuk memastikan isteri terus kekal dalam bentuk tubuh yang mereka ingini. Jadi apabila isteri memasak untuk suami, sediakanlah makanan yang sihat buat dirinya agar kesihatan dirinya terus terbela. Walaupun bukan setiap hari, pastikan seorang isteri memasak buat suami sekurang-kurangnya tiga kali dalam seminggu memandangkan masakan yang dijual di kedai terdedah kepada serbuk perasa dan bahan tidak terjamin kebersihannya.
Memang terdapat lambakan juadah di luar. Namun, biarpun terdapat pelbagai pilihan, semua menu ini tidak dapat menandingi kelazatan makanan yang disediakan oleh isteri. Walaupun ringkas, keenakannya tetap terasa kerana aura kasih sayang yang terkandung di dalamnya.
Sebagai wanita berkerjaya dan berpelajaran tinggi, memasak dilihat sebagai satu cara untuk membuktikan diri isteri benar-benar berkebolehan dan layak digelar superwoman. Malah kebolehan memasak ini juga membuktikan kehebatan isteri kerana di dalam kejayaan membina kerjaya isteri turut berupaya mengendalikan rumahtangga dengan jaya dan sempurna.