Isnin, 1 September 2008

Dunia Penjara Buat Mukmin

Ramai dikalangan kita merungut tentang ketatnya suruhan yang dianjurkan oleh Islam. Cuba anda tolak ketepi pendapat ini, dengan menggariskan semua perkara-perkara yang wajib dilakukan, dan yang diharamkan. Sila lihat perbandingannya!

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: " Dunia itu adalah penjara bagi orang mukmin".(1)

Wahai Saudara/i,

Urusan kita selaku orang mukmin sentiasa terikat dengan Syariah. Setiap suruhan dan tegahan itu merupakan syariah, dan wajib kita ketahui dan pelihara. Betapa ramai yang menganggap Islam mengongkong kebebasan berpakaian, berfikiran, berpolitik, bersosial dan lain-lain. Sedangkan, manusia itu hidup punya "maqasid", atau tujuan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "adakah kamu mengira sesungguhnya kami menjadikan kamu hanya mainan?". (2)

Sedarlah bahawa mukmin itu terikat dengan perkara-perkara yang ditegah, bagi kita batasan, sekalipun tujuan baik, tetapi cara tidak menepati Syariah maka tujuan tidak akan tercapai. Ketahuilah sekalipun tujuan dunia anda tercapai, tetapi tujuan akhirat itu adalah lebih utama! "Al wasilah hukmu al maqasid"!

Dahulu kita pernah dihebohkan dengan isu "Penzinaan yang dibenarkan disisi Islam", dek kepapaan. Isu ini amat memeranjatkan saya, ingin saya bawakan ia sebagai contoh bahawa Wasilah itu adalah merupakan Hukum bagi Maqasid. Yang saya maksudkan adalah apabila seseroang perempuan yang papa tiada empunya harta, tetapi memiliki anak. Apakah diharuskan baginya berzina hanya semata mendapatkan wang bagi membiayai anaknya?

Hukum asal bagi mendapatkan pendapatan untuk membiayai keluarga adalah halal, dan digalakkan disisi Islam, tetapi dengan melalui cara yang tidak melanggari syariat. Namun sekiranya tujuannya sama, tetapi dengan melalui cara yang bercanggahan dengan syariah islamiah, maka Hukum menuju Maqasid (tujuan) itu adalah Haram, kerna wasilahnya adalah haram.

saudara/i,

Benarlah sabdaan Nabi SAW tersebut, adapun yang dimaksudkan dengan penjara juga adalah Akibat-akibat yang bakal diterima. Orang mukmin jika dia bersyukur dengan setiap kurniaan ALlah SWT dan menunaikan segala perintah dan menjauhi larangan, maka syurgalah tempat dia bersuka ria tanpa batasan. Tetapi bagi orang kafir, mereka lebih memilih untuk mendapat nikmat kebebasan di dunia, sedangkan mereka lupa bahwa kehidupan didunia hanya sementara, bahkan akhirat yang selamanya.

Kesimpulannya, kembalilah kita kepada Fitrah. Sesungguhnya manusia itu perlu kepada Fitrah iaitu mengesakan Allah SWT. Tinggalkan lah duniaMu yang sementara, untuk kehidupan yang selamanya. Jika kau kaya di dunia belum tentu kau kaya diakhirat, boleh jadi orang yang kau hina dikaki lima, dia lah yang akan melambai-lambai kamu dari dalam Syurga. Insafilah...

______________________

-(1) Hadith Sahih, Dikeluarkan oleh Muslim didalam Kitab al-Haid.
-(2) Surah al-Mukminun: ayat 115.

0 ulasan: