Sabtu, 25 Oktober 2008

Hak Orang Bukan Islam Dalam Negara Islam

Orang bukan Islam yang tinggal di dalam negara Islam dapat dibahagikan kepada dua golongan:

Pertama : Ahli Dzimmi iaitu orang-orang yang tinggal kekal dalam agamanya (bukan Islam) tetapi rela tunduk dan patuh kepada undang-undang negara. Mereka adalah rakyat dan warganegara yang sama tarafnya dengan rakyat dan warganegara dari golongan orang-orang Islam sendiri.

Kedua : Al-Mustakmin iaitu warganegara asing yang dibenarkan tinggal dalam negara Islam secara aman bagi tempoh tertentu. Masing-masing golongan ini mempunyai hak-hak dan tanggungjawab tertentu terhadap negara Islam.

Hak Ahli Dzimmi

Kaedah pertama yang diguna pakai bagi menjalin hubungan dengan ahli dzimmi dalam negara Islam ialah bagi mereka hak seperti yang dinikmati oleh orang Islam kecuali dalam beberapa perkara tertentu sebagaimana ke atas mereka kewajipan sperti yang dipikul oleh orang-orang Islam kecuali dalam beberapa perkara tertentu.

1. Hak Mendapat Perlindungan

Hak yang pertama ialah hak untuk menikmati perlindungan keselamtan oleh negara Islam dan masyarakat Islam dari serangan musuh dari luar dan kezaliman dari dalam negara bagi menjamin keselesaan dan kestabilan hidup.

i. Perlindungan ancaman luar
ii.Pembelaan dari kezaliman dalam Negara
iii.Perlindungan kehormatan darah dan tubuh badan
iv.Pemeliharaan Harta Benda
v.Pemeliharaan Kehormatan Diri
vi. Perlindungan Takaful Ketika Tua dan Miskin

2. Kebebasan Beragama

3. Kebebasan Bekerja

4. Memegang Jawatan Kerajaan

Tanggungjawab Orang-Orang Dzimmi

Setimpal dengan hak-hak yang dinikmati oleh orang dzimmi maka dikenakan ke atas mereka tanggungjawab yang perlu ditunaikan kepada negara. Tanggungjawab tersebutlah dapatlah disimpulkan seperti berikut:

i. Membayar jizyah dan kharaj serta cukai perniagaan
ii. Mematuhi undang-undang Islam di dalam bidang muamalat dan sebagainya
iii.Menghormati syiar-syiar Islam dan perasaan orang-orang Islam

Penutup

Dari huraian tersebut dapatlah difahami bahawa masyarakat bukan Islam sama ada mereka itu rakyat negara Islam diberi hak-hak dan layanan yang adil dan saksama oleh pemerintah Islam.
Perbezaan atau ketidaksamaan mendapat beberapa hak antara warga bukan Islam dan warga Islam tidak beerti perbezaan taraf kerakyatan. Ada beberapa bidang pekerjaan tidak diberi kepada orang-orang tertentu walaupun mereka beragama Islam seperti jawatan khalifah atau ketua negara tidak diberi kepada orang perempuan Islam dan lain-lain. Jadi keadilan Islam kepada semua manusia adalah jelas.

Hak Allah dan Hak Manusia

Di dalam Islam hak berpakaian bukanlah hak milik bebas kita semua. Sebagai hamba Allah, kita perlu memahami hidup ini sentiasa diikat dengan pelbagai jenis hak antara satu sama lain. Tiada pakaian seksi dibenarkan kerana ia :-

1) cabuli hak Allah ; hak Allah lebih utama dari hak kita secara peribadi sebagai manusia. Mana logiknya? Allah yang memberikan segalanya buat kita, tiba-tiba kita ingin diberikan kebebasan ikut suka hati kita?.

Sabda nabi SAW :
إن الله حد حدودا فلا تعتدوها وفرض لكم فرائض فلا تضيعوها وحرم أشياء فلا تنتهكوها
Ertinya : "Sesungguhnya Allah telah meletakkan had tertentu (dalam kehidupan kta), maka jangan kamu cerobohinya, dan telah menwajibkan bagi beberapa kewajiban dan jangan kamu sesekali mengabaikannya dan telah mengharamkan beberapa perkara dan jangan kamu langgarinya." ( Riwayat Al-Hakim, 4/129 : Az-Zahabi tidak memberikan komen tentang tahap hadis ini)

2) cabuli hak manusia lain ; berpakaian seksi ini juga tidak dibenarkan kerana ia melanggar hak orang lain yang sedang cuba menjaga iman dan mata mereka dari dosa-dosa.

Pakaian seksi yang ditayang secara terbuka boleh menjejaskan keharmonian rumah tangga orang lain. Suami orang terlihat lalu terganggu kasihnya kepada isterinya di rumah, pemuda dan pemudi terangsang dan dirangsang lalu porak peranda hidup mereka dengan zina dan dibuang keluarga akibat 'bunting' sebelum kahwin. Hancur ikatan suami isteri, musnah ikatan keluarga hanya dengan pakaian 'seksi' . Manusia tidak sedar dan sering mengganggap kecil. Semua perkara yang termasuk dalam hak Allah dan RasulNya sudah pasti tidak akan hanya melibatkan perkara kecil, ia pasti memberi impak yang besar kepada ketidakstabilan hidup secara umum.

Kerana itu, ajaran agama diperlukan. Itulah Islam satu-satunya yang diredhai Allah.

AKU TIDAK PEDULISMA

Mahasiswa hari ini jauh berbeza dengan mahasiswa generasi terdahulu kerana mahasiswa kini mengamalkan prinsip aku tidak pedulisma. Sikap ini dapat kita perhatikan ketika di dalam LRT, di dalam bas, atau di lapangan terbang. Sebahagian besar generasi muda, telinganya bersumbat dengan MP3 Player.Sebahagian yang lain, asyik dengan Portable Playstation.Dan tidak kurang juga yang khusyuk dengan telefon bimbit masing-masing.

Tanpa sedar, gaya hidup kita hari ini kesemuanya menjurus manusia kepada terus menerus berada di dalam ‘dunia sendiri’ lantas hilang kepekaan kepada persekitaran. Semua orang selesa mendengar lagu pilihan masing-masing, selesa melayan rakan-rakan online malah lebih seronok bermain dengan permainan fantasi yang terputus dari realiti.

SUATU KETIKA DAHULU

Ia jauh berbeza dari kehidupan mahasiswa/i sedekad yang lalu. Membeli sebuah walkman (pemain kaset) itu pun, ia sudah dianggap suatu kemewahan. Mendengar kaset juga tidak selancar mendengar MP3. Jumlah lagu terhad kepada 5 lagu bagi sebelah kaset dan keasyikan mendengar hanya bertahan setengah jam, sebelum proses menukar kaset ke side B perlu dilakukan. Tenggelamnya seseorang di dalam dunia sendirinya itu tidak mutlak dan mendalam.

Dengan jumlah lagu yang sedikit, rasa jemu mudah datang. Atau dengan pelbagai sebab yang lain, kita sesekali akan akhirnya menyapa penumpang di sebelah, semasa menaiki bas ekspres. Pendek sahaja perbualan. Tetapi kemahuan untuk menegur orang di sebelah, tanpa sedar telah menanam sifat peduli. Dan kepedulian terhadap persekitaran sememangnya memberikan banyak pengalaman. Kesudian menyapa orang yang duduk di sebelah, banyak memberi input kehidupan dan pengalaman.

HARI INI

Tetapi hari ini segala-galanya sudah berubah.Setiap orang selesa duduk dalam dunianya sendiri. Jika mahu mendengar lagu, iPOD atau MP3 Player kita mampu menyediakan ratusan malah ribuan lagu yang kita minat. Sekali telinga disumbat, kita terus tenggelam dalam dunia yang kita pilih, biar pun untuk perjalanan kapal terbang sejauh Kuala Lumpur ke London.

Jika dahulu, kita bermain Playstation secara ‘berjemaah’, kini pilihan bermain secara individu semakin popular.Apa sahaja yang bersifat perkongsian, semakin terhapus dan terhakis.Semua orang selesa dengan dunia masing-masing. Bukan sahaja hilang minat untuk berbual dan menegur orang di sebelah, malah menegurnya sudah menjadi suatu keganjilan. Mengganggu privacy!

Tanpa sedar, keseluruhan lifestyle kita telah menjadikan kita anti sosial. Kita selesa dengan dunia sendiri. Inilah realiti mahasiswa/I di IPT kini. Oleh itu, sama-samalah kita untuk buat perubahan atas kelemahan kita selama ini. Waallahu a'lam

Kaitan otak dengan zikr

Otak hanyalah aktiviti-aktiviti bio-elektrik yang melibatkan sekumpulan saraf yang dipertanggungjawabkan untuk melakukan tugas-tugas tertentu bagi membolehkan ia berfungsi dengan sempurna. Setiap hari 14 juta saraf yang membentuk otak ini berinteraksi dengan 16 juta saraf tubuh yang lain. Semua aktiviti yang kita lakukan dan kefahaman atau ilmu yang kita peroleh adalah natijah daripada aliran interaksi bio-elektrik yang tidak terbatas.

Oleh itu, apabila seorang itu berzikir dengan mengulangi kalimat-kalimat Allah, seperti Subhanallah, beberapa kawasan otak yang terlibat menjadi aktif. Ini menyebabkan berlakunya satu aliran bio-elektrik di kawasan-kawasan saraf otak tersebut. Apabila zikir disebut berulang-ulang kali, aktiviti saraf ini menjadi bertambah aktif dan turut menambah tenaga bio-elektrik. Lama-kelamaan kumpulan saraf yang sangat aktif ini mempengaruhi kumpulan saraf yang lain untuk turut sama aktif. Dengan itu, otak menjadi aktif secara keseluruhan. Otak mula memahami perkara baru, melihat dari sudut perspektif berbeza dan semakin kreatif dan kritis, sedang sebelum berzikir otak tidak begini. Otak yang segar dan cergas secara tidak langsung mempengaruhi hati untuk melakukan kebaikan dan menerima kebenaran.

Rabu, 22 Oktober 2008

Rakyat mahukan pemerintah yang adil

Rakyat akan bangga melihat pemimpin mereka adil dan amanah terhadap harta negara. Rakyat tidak bangga untuk mendengar cerita pemimpin mereka mewah dengan penuh tanda tanya tentang hartanya dan berjalan dengan penuh kebongkakan seakan dia ialah maharaja yang tidak boleh dikalahkan atau dipersalahkan. Seseorang pemerintah dibangga dan dikasihi oleh rakyatnya apabila terserlah keadilannya.

Khalifah Umar bin al-Khattab pernah membahagi-bahagikan kepada rakyatnya pakaian lalu beliau naik ke atas mimbar dan berkata: “Wahai manusia dengarlah!” Tiba-tiba bangun Salman al-Farisi berkata: “Kami tidak mahu dengar”.

Lantas Umar bertanya: Kenapa wahai Salman?” Jawabnya: Engkau berikan kami semua seorang sehelai, sedangkan engkau memakai dua helai”. Kata ‘Umar: “Jangan tergesa-gesa wahai Salman”. Lalu Umar memanggil anaknya Abd Allah. Kata Umar: aku menyerumu dengan nama Allah, bukankah pakaian yang aku pakai ini adalah peruntukanmu yang engkau berikan padaku”. Jawabnya: Ya!. Maka kata Salman: “Sekarang kami akan dengar”. (Ibn Qutaibah, ‘Uyun al-Akhbar, 1/55).

Justeru itulah keadilan dan kesaksamaan adalah teras kepada pemerintahan dalam Islam. Disebabkan keadilan yang pernah ditunjukkan oleh para khalifah yang adil dalam sejarah merekalah maka ribuan manusia menganut Islam atau ingin berlindung di bawah pemerintahan Islam.

Namun, apabila umat Islam gagal mempamerkan sistem dan perlaksanaan pemerintahan yang adil lagi saksama, maka non muslim bukan sahaja tidak mahu menerima Islam, bahkan tidak memandang hormat kepada Islam. Lebih memalukan jika mereka pula lebih bermoral daripada kita dalam menguruskan harta rakyat mereka.

Prinsip kesaksamaan ini ditegaskan oleh banyak nas-nas Islam. Firman Allah (maksudnya): Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). (Surah al-Hujurat: 13).

Inilah dasar Islam yang agung. Menghapus kebongkakan atas nama keturunan atau puak, kerana manusia semuanya sama di sisi tuhan. Islam agama yang memusuhi sistem kasta yang membeza-beza manusia disebabkan keturunannya. Islam tidak pernah menyatakan keturunan semata mewarisi kemuliaan, tetapi nilai dan sikap seseorang yang memastikan sama ada dia mulia atau sebaliknya.

Justeru itu, manusia tidak menjadi mulia disebabkan pangkat yang dia ditabalkan. Tetapi ketakwaannya. Maka ketakwaan seorang pemimpin adalah apabila dia amanah dan adil terhadap rakyat bawahan. Tidak menyalahgunakan kuasa dan mengambil harta yang bukan haknya. Jika itu berlaku, maka dia adalah pemimpin yang mulia. Jika tidak, dia seorang yang memecahkan amanah lagi hina. Sekalipun orang memberikan pangkal namanya dengan berbagai gelaran; Yang Berhormat atau Yang Amat Berhormat. Namun tiada kehormatan untuknya di sisi Allah jika dia merompak harta rakyat secara senyap atau terang-terangan. Ramai pemimpin yang dari jenis ini, apabila kekuasaannya hilang orang kelilingnya juga pun ‘terbang’. Hilang tak berbayang.

Terbukti bahawa yang bersorak ketika dia berkuasa hanya mengharapkan habuan istimewa yang sebahagiannya adalah harta rakyat jelata. Namun jika pemimpin adil dan berjasa, sehingga hari dia hilang kuasa, rakyat akan terus mengingati dan mengenangnya. Sekalipun dia tidak lagi dijemput ke majlis-majlis rasmi, namun budinya tetapi tersemat di hati. Lebih penting, pemerintahan yang adil itu adalah ibadah yang agung yang bakal dibawa olehnya bertemu Allah pada hari kiamat kelak.

Ketegasan terhadap keadilan adalah prinsip dan syiar pemerintahan Islam. Jangan sampai seseorang pemerintah atau pemimpin menjadikan kuasa jawatannya untuk kepentingan suku sakat atau anak pinak atau sahabat handainya. Sehingga kaum keluarga atau kroninya mendapat keistimewaan apa yang tidak diperolehi oleh rakyat biasa.

Janganlah pula kebenciannya kepada sesuatu puak atau golongan menyebabkan dia tidak berlaku adil sedangkan Allah berfirman: :(maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”.

Inilah impian setiap rakyat. Sebab itu maka setiap individu yang berada di bawah naungan kerajaan muslim yang sebenar merasa aman, terbela dan tidak dianayai. Memberikan kesaksamaan dan keadilan untuk semua adalah teras pemerintahan Islam.
Aduhai indahnya dunia ini, jika pemerintah jujur lagi takutkan Allah. Maka terpeliharalah kebajikan rakyat dan tersebarlah keadilan untuk semua.Tidaklah lagi kita akan terus mendengar cerita harta negara menjadi warisan keluarga atau sanak-saudara, atau sahabat setia.

Wahai para pemimpin, kami sekelian rakyat merindui keadilan, kejujuran dan kesaksamaan dalam pemerintahan kalian. Kami mempunyai hak di dunia untuk bertanya dan memintanya, juga hak di hari akhirat untuk mendakwa dan menuntutnya.