Selasa, 21 Oktober 2008

Kuasa beli rakyat semakin mengecil

Sejak kerajaan menaikkan harga minyak kepada RM2.70 Jun lalu dan menurunkan 15 sen baru-baru ini kepada RM2.55, trend harga barangan akibat kenaikan atau penurunan kos minyak tidak menampakkan perubahan ke atas harga barangan. Alasan peniaga ialah penurunan harga minyak amat sedikit dan mereka seolah-olah bersikap mengangguk di air keruh. Ketika rakyat terbeban dengan kos sara hidup yang meningkat akibat inflasi, golongan peniaga pula langsung tiada rasa ihsan jauh sekali untuk bersama-sama menanggung keperitan hidup.

Hingga ke hari ini, harga barangan baik di pasar raya besar mahupun di gerai naik melambung-lambung. Harga ikan, sayur dan setiap bahan makanan harian naik sekali ganda sehingga memberi tekanan kepada rakyat berpendapatan rendah. Harga barang sepatutnya menjadi lebih murah sejajar dengan harga minyak yang diturunkan kerajaan. Tapi malangnya sampai ke saat ini para peniaga memberi seribu macam alasan. Sedangkan ketika harga minyak mula dinaikkan, mereka begitu cepat mendesak kerajaan menaikkan harga barang atas alasan rugi.

Sekarang rakyat berpendapatan rendah sudah terasa bagaimana kuasa membeli mereka semakin mengecil. Sebahagian besar wang kini terpaksa dibelanjakan hanya untuk membeli barang makanan seperti beras, ikan, daging dan sebagainya. Apa yang tinggal hanyalah untuk manampung perbelanjaan harian tanpa mempunyai tabungan untuk jangka masa panjang.

Jika ketika harga minyak dinaikkan, kerajaan boleh berbincang bersama industri dan pengusaha mengenai kenaikan harga barang, mengapa sekarang tidak. Pihak keraan sepatutnya mengadakan pertemuan dengan golongan ini bagi menurunkan harga barang selepas harga minyak menurun.

1 ulasan:

BINTANG HATI : berkata...

menarik sungguh maklumat yang saudari tulis di dalam blog saudari..ianya memberikan saya 1 informasi..tahniah..