Rabu, 22 Oktober 2008

Jangan berani menghalalkan dosa


Kisah Iblis dan Adam diulang berkali-kali dalam al-Quran agar kita mengambil pengajaran dalam kehidupan. Setiap ulangan ada isu dan pengajarannya yang tersendiri. Kita seperti bapa kita Adam, terdedah kepada salah dan silap, cuai dan alpa yang akhirnya menjerumuskan kita ke dalam dosa.

Namun, seperti mana bapa kita Adam, kita tidak akan mempertikaikan hukum atau peraturan yang Allah tetapkan. Kita akui kelemahan diri, tanpa kita menghalalkan kesalahan dan dosa dengan alasan yang menunjukkan kita meremehkan hukum Tuhan.

Kita bukan Iblis yang apabila berdosa bersikap takabur dan enggan akur atas kelemahan diri, sebaliknya menuding kesalahan kepada peraturan yang Allah tetapkan. Sesiapa yang bertindak seperti Iblis, maka dia menjadi kafir. Sementara sesiapa yang bersikap seperti Adam, maka dia mendapat keampunan tuhannya.

Allah menceritakan kisah bapa kita Adam, agar kita mencontohinya apabila melakukan kesalahan. Melakukan kesalahan bukan perkara yang paling menimbulkan kemurkaan Allah, tetapi enggan akur dan bertaubat itulah membawa kemurkaan besar di sisiNya.
Kita anak Adam, teladani sikap bapa kita. Sabda Nabi s.a.w.

“Semua anak Adam melakukan kesalahan. Sebaik-baik yang melakukan kesalahan itu ialah mereka yang bertaubat” (Riwayat al-Tirmizi, Ibn Majah, dinilai hasan oleh al-Albani).


Kisah Adam dan Iblis menjadi paksi dalam banyak episod kehidupan insan. Sebab itu dalam Islam sesiapa yang membuat dosa dan menghalalkan tindakannya maka dia menjadi kafir. Sementara sesiapa yang membuat dosa namun tidak menghalalkannya maka dia dianggap sebagai seorang fasiq (ahli dosa), namun tidak membawa kepada kufur. Melainkan jika dia bertaubat.


Ini seperti sesiapa yang tidak berpuasa Ramadan tanpa sebab yang diizinkan oleh syarak, maka dia berdosa dan menjadi fasik. Namun jika dia menghalalkan perbuatannya itu seperti menyatakan ‘bagi aku tidak salah jika aku tidak berpuasa pun’, atau dia mempertikaikan hukum seperti dia menyatakan ‘syariat puasa itu tidak sesuai atau tidak ada sebarang faedah untuk kita ikut’ maka dia menjadi kafir, terkeluar dari Islam. Ini kerana dia mempertikaikan atau mencabar Allah Yang Maha Agung.

Perbuatan yang seperti itulah yang dilakukan oleh Iblis lalu dihukum kufur oleh Allah. Sama juga dengan pelaku dosa. Jika seseorang berzina maka dia berdosa dan fasiq (fasik). Namun, jika menghalalkan perbuatan zina seperti menyatakan ‘apa salahnya jika suka sama suka’, atau dia menyatakan ‘jika pasangan dah rela, mana boleh berdosa’, atau menyebut ‘zina macam sedekah, jika orang bagi tidak salah kita mengambilnya’ maka pengucap ungkapan-ungkapan yang seperti ini terkeluar dari Islam. Ini kerana dia telah mempertikaikan hukum Allah dan mencabar apa yang telah ditetapkanNya.

Berbalik kepada kisah Adam dan Iblis. Kisah ini menjadi teras dalam akidah Islam. Islam agama yang akur bahawa insan sentiasa terdedah kepada dosa dan kesalahan. Selagi mana insan insaf bahawa kesalahan itu berpunca daripada kelemahan dirinya sendiri, dia mempunyai ruang untuk kembali dan bertaubat kepada Allah.

Namun apabila insan yang melakukan dosa itu sombong dan bongkak dengan merasakan dia tidak bersalah atas perbuatannya, maka tempatnya bersama dengan Iblis yang menghuni tetap neraka yang amat dahsyat.

0 ulasan: